BUENOS AIRES - Jurulatih pasukan bola sepak Argentina, Diego Maradona dan pemain-pemainnya menolak jemputan Presiden Argentina, Cristina Kirchner untuk menghadiri satu majlis penghargaan di Istana Presiden selepas mereka tewas 4-0 kepada Jerman pada saingan suku akhir Piala Dunia. Perkara itu didedahkan oleh Presiden itu kepada rakyat negara tersebut kelmarin.
Kirchner menggantikan suaminya selaku ketua negara pada Disember 2007 itu turut memberitahu beliau cuba bercakap dengan Maradona mengenai kekalahan itu.
Namun, katanya, jurulatih itu terlalu kecewa untuk bercakap mengenainya.
"Anda tahu, Presiden ini cuba menunjukkan sifat sebenarnya kepada mereka yang berada pada saat-saat sukar dan bukan ketika gembira sahaja. Justeru, saya menjemput skuad kita ke Istana Presiden.
"Namun, mereka menolak kerana berasakan tidak berhak untuk menerima penghormatan sebegitu.
"Tetapi, saya percaya bahawa mereka silap. Mereka (skuad bola sepak Argentina) layak menerimanya (penghargaan) dan saya akan menunggu mereka," kata Kirchner pada satu perjumpaan di San Miguel.
Wanita yang pernah menjadi senator selama 12 tahun sebelum dipilih menjadi Presiden itu meminta rakyat Argentina supaya menjadi kuat dalam menghadapi saat-saat sedih ketika menyaksikan negara mereka gagal menempah slot empat pasukan terakhir dalam perlawanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
"Saya ada menelefonnya (Maradona) selepas sidang media. Namun, dia tidak boleh bercakap kerana dia sedang menangis." katanya.
Seperti kebanyakan rakyat Argentina, Kirchner memberikan sokongan padu kepada Maradona.
"Saya menawarkan sokongan saya kerana tiada siapa yang mampu memberikan kita kegembiraan di padang selain Diego Armando Maradona," katanya.
Maradona yang berdepan masalah kewangan serius kerana hutang cukai terhadap pemerintah Itali mencecah AS$50.5 juta (RM161.8 juta) memberi bayangan akan meletak jawatan sebaik sahaja tiba di Argentina.
"Cukuplah. Kitaran saya sudah berakhir. Saya sudah memberikan semua yang saya ada," kata Maradona ketika dia tiba di rumahnya di sini. - AFP
Sumber Kosmo
0 comments:
Post a Comment